Tuesday, September 29, 2009

JANGAN "BUANG" ISA, PINDA TAK MENGAPA

"Jangan buang atau mansuhkan ISA, pinda tak apa,"Ayat yang cukup cantik, penuh makna dan paling mencuit hati hadirin termasuk YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila calon Barisan Nasional Bagan Pinang, Tan Sri Isa Abdul Samad(TSIS) mengungkapkan bait-bait ini.
TSIS dan keberuntungannya akan dapat kita lihat di Bagan Pinang berdasarkan kehendak akar umbi sesuai dengan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Inilah kali pertama TSIS bertanding di kampung halaman sendiri atas permintaan rakyat setempat yang telah menilai jasa dan bakti beliau selama lebih 30 tahun bergelumang dengan khidmat kepada masyarakat.
Pemegang Ijazah sarjana Muda Sastera (Pengajian Melayu) Universiti Malaya dan sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun bermula 1982 hingga 2004, TSIS mempunyai kelebihan cukup terserlah walaupun ada isu-isu yang melingkari perjalanan politik beliau. Itu memang sudah menjadi kebiasaan, mana ada bumi tak ditimpa hujan.
TSIS adalah pemimpin yang sabar mengharungi cabaran malah liku-liku dan sepak terajang politik menjadikan dia terus kuat dan berada di mana kedudukannya sekarang. Tiada sebab untuk rakyat menolak TSIS walaupun bermacam-macam persepsi dibangkitkan.
TSIS khabarnya sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat dan ini merupakan "markah" yang paling tinggi untuk TSIS berbanding dengan calon PAS, Zulkeply Mohamad Omar yang sebelum ini tewas dalam tiga pilihanraya yang disertainya.
Saya yakin, dengan sokongan akar umbi, rekod kalah calon PAS akan terus kekal dan TSIS akan kembali sebagai tokoh pemimpin yang memperjuangkan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. TSIS memang tidaik pernah berputus asa dan sentiasa sabar dan kekal sebagai pejuang.

ISA SAMAD PERNAH MELALUI TEMPOH KEHIDUPAN YANG SUKAR DALAM POLITIK TETAPI TIDAK PERNAH BERHENTI BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT,PARTI,KERAJAAN DAN NEGARA.

Friday, September 25, 2009

DATUK "BELI" BAGI YANG KEMARUK

Pendedahan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim mengenai ada golongan tertentu "membeli" gelaran Datuk adalah sesuatu yang harus diberi perhatian. Kita terkejut, ada kalangan yang baru berusia 30an, sudah terima gelaran Datuk. Tak tahulah bagaimana caranya mereka mendapat gelaran ini tetapi berdasarkan kenyataan
Dato'Seri Utama Dr Rais ia amat memalukan dan golongan kemaruk gelaran seperti ini bersandarkan kepada kemampuan wang ringgit bukannya kerana jasa kepada negara dan rakyat.
Mereka yang sudah bertongkat, telinga sudah tidak dengar, mata sudah kelabu, jasa kepada negara tiada bandingan tetapi gelaran penghormatan tidak pernah mereka rasai. Anehnya mereka ini tak pernah kemaruk akan gelaran walaupun sepatutnya gelaran ini sudah mereka miliki. Kita nak salahkan siapa?Ini yang menjadi persoalan.

Bagi yang berjasa di usia muda mungkin tak menjadi masalah sangat. Biarkanlah kerana budi dan jasa mereka kepada negara sudah terbukti. Sewajarnya semua pihak prihatin dengan permasalahan ini. Pendedahan berani Rais amat dikagumi. Jangan biarkan Rais sendirian memperjuangkan agar perkara jelek ini dihentikan demi harga sebuah jasa dan gelaran.
Jangan sampai nanti rakyat akan "menjueh" seraya berkata, "aku tak hairan, dapat "datuk" pun datuk beli," saat ini gelaran sudah tidak dihormati lagi.

Biarlah datuk asli selepas bercucu.

RUMAH TERBUKA RAIS

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dan Datin Seri Masnah Rais mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuala Klawang dalam Parlimen Jelebu pada 26 September 2009 bermula jam 7.30 malam.
Khabarnya ia akan turut diserikan dengan pelbagai persembahan sebagai halwa telinga mereka yang hadir.
Tentulah ramai rakyat akan bertandang ke rumah terbuka ini dan ianya sebagai langkah mendekatkan rakyat dengan pemimpin. Kebiasaannya menjangkau 10 ribu yang hadir. Mungkin kalai ini ianya akan lebih meriah dan harapan kita untuk melihat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan mencapai matlamat hingga ke akar umbi. Ia sebagai rasa terima kasih kita kepada rakyat yang selama ini setia menyokong pemimpin.
Pemimpin dan rakyat berpisah tiada.
Selamat menjamu selera.

Monday, September 21, 2009

SEGAMAT MAKIN GAMAT

Tahun ini saya dan isteri berkesempatan berhari raya di Segamat di rumah nenek. Beraya sambil melihat perkembangan bandar Segamat dengan motorsikal Kriss cukup menyeronokkan. Satu ketika Segamat teruk dilanda banjir dan saya dibawa oleh Sdr Iskandar untuk melihat keadaan di beberapa kampung. Antaranya Kampung Bumbun dan kampung Sermin dan kampung sekitar Jalan Temenggung.
Secara tiba-tiba, Iskandar meluahkan pandangannya. Macam orang politik lagaknya.
Kata Iskandar, Segamat perlu diserahkan balik kepada UMNO. Saya tanya kenapa dia berhujah begitu, selamba saja Iskandar menjawab,"itu hak UMNO dulu tapi tiba-tiba diserahkan kepada MIC, lagipun majoriti Melayu di situ,"kata Iskandar penuh yakin. Segamat kini diwakili Dato' S.S Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.

Saya meminta Iskandar melalui jalan-jalan kampung. Maklumlah sesekali balik. Apabila masuk ke kawasan kampung, Iskandar merungut, "dulu balai raya ni meriah, tapi kini seperti tidak digunakan sepenuhnya. Adalah elok kalau berbuat sesuatu, aktiviti kena diperbanyakkan kerana Mat Rempit juga hebat di Segamat ni. IMalaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," Iskandar bersuara di pihak khalayak ramai. Saya senyum kerana ada benarnya kata-kata Iskandar.

Saya sempat bertandang ke Balai Bomba Segamat, saat itu saya insaf kerana di saat kita asyik makan ketupat, lemang dan rendang ada juga insan mulia yang sentiasa bersiap-sedia menghadapi serba kemungkinan. Kemalangan musim raya bukan sesuatu yang luar biasa. Tapi ada juga panggilan untuk menangkap ular. Menurut Iskandar, tangkap ular di Segamat seperti satu kebiasaan.

Sempat juga meninjau Pejabat Penerangan Segamat. Pejabat sunyi tiada pekerja kerana semuanya bercuti. Pejabat Penerangan terletak di kawasan berhampiran dengan Stesen Keretapi. Menurut Iskandar, dulunya Pejabat Pos di situ. Pejabat bersih dan catnya hebat.

Teringat kata-kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim ketika bercakap kepada Pegawai Penerangan dari Seluruh Malaysia di Hotel De Palma tidak lama dulu agar Pejabat Penerangan biar terang dan menarik. Ketua Pengarah Penerangan kena tengok apa yang dinyatakan oleh Menteri agar ianya mencapai kehendak dan matlamat.

Sesungguhnya berhari raya di Segamat di rumah bekas Menteri Besar Johor, Dato' Ajib Ahmad terasa seperti kampung saya. Orang sekitar ramah dan mengenali saya, mungkin kerana sering muncul di TV. Ada juga yang keliru maklumlah selepas lebih 10 tahun di TV3, saya muncul di Bernama TV selama setahun dan kemudiannya bersama RTM dalam rancangan isu hingga kini setiap jumaat jam 9 malam.

Kalangan rakyat di Segamat semakin dapat menghayati Gagasan IMalaysia yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri dan barisan kabinetnya.
Iskandar membawa saya singgah di rumah kenalannya, Abang Mat, seorang pengusaha Satay yang dikenali di bandara ini. Abang Mat memang kagum dengan perjuangan Dato Seri Najib kerana memperjuangkan nasib kalangan peneroka.

Abang Mat memberitahu, kehadiran Syawal akan menjadikan dia sentiasa sibuk mengurus tempahan satay hingga ada pesanan datang dari Singapura. Memang hebat satay abang Mat di Segamat.

"Dato Seri Najib seperti arwah bapanya, Tun Razak kerana mengambil berat tentang golongan peneroka. Kita dah aman dan bagus, apa lagi yang nak diubah-ubah kerajaan yang ada," kata Abang Mat yang kerjanya mengibas Satay di kawasan Felda. Dia bersyukur dengan anugerah ini. Abang Mat antara mereka yang mengikuti perkembangan saya.

Ketika singgah di rumah Tok Ngah, nyata Tok Ngah mengkagumi Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim yang dianggapnya antara Menteri yang mempunyai karaktor menarik dan ucapannya dianggap yang terbaik. Pujiannya makin meninggi apabila Iskandar mendedahkan saya adalah Setiausaha Media Dato' Seri Utama. Terima kasih Tok Ngah.

Apabila meninjau sekitar Segamat, lamunan saya juga turut mengimbas jasa kalangan pemimpin Johor yang terdahulu. Menteri Besar yang terpahat dalam ingatan saya, Dato'Ajib Ahmad. Sekurang-kurangnya, banyak juga jasa Dato' Ajib di Johor, khususnya Segamat walaupun hanya sepenggal menjadi Menteri Besar.Begitu juga jasa yang ditaburkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini sebagai Timbalan Perdana Menteri kita.

Kepada semua orang Johor saya kagum kerana sokongan mereka kepada kerajaan yang ada tidak pernah goyah. Terima Kasih kepada Sdr Iskandar kerana melayan kemahuan saya. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Sunday, September 20, 2009

SAMY VELLU PERLU BERUNDUR

  • Kenyataan mantan Perdana Menteri dan tokoh negarawan kita, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan Dato Seri S Samy Vellu yang sudah lama memegang jawatan Presiden MIC dan patut berundur kerana dia menjadi "masalah" kepada Barisan Nasional sekaligus gagal menjadi "jaguh" kepada kaum India.

Dalam masa yang sama, Naib Presiden MIC, Datuk S.K Devamany yang dilaporkan Utusan Malaysia sebelumnya, menafikan dia ada membuat kenyataan mengenai Samy Vellu yang perlu berundur dari presiden parti. SK Devamany menyatakan dia tetap menyokong Samy.

Dato Seri Samy dianggap sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional oleh Tun Mahathir. Selepas itu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib dalam kenyataannya kepada wartawan menyatakan Samy Vellu sudah membayangkan hasrat peralihan kuasa sekalipun pertemuan lanjut akan berlangsung antara Dato Seri Najib dan Dato Seri Samy Vellu dalam masa terdekat.
Kalau nak dikira keinginan untuk pegang jawatan memang sukar untuk dilepaskan. Tapi kita juga kena sedar diri betapa pemimpin itu boleh datang dan pergi, silih berganti tetapi perjuangan parti harus berterusan. Takkanlah nak pegang jawatan sampai mati. Berilah kesempatan kepada pemimpin muda yang lain pula untuk mencorak perubahan. Mungkin selepas Samy berundur, MIC akan kembali diterima di peringkat akar umbi.

SMS PENGGANTI DIRI

Hari raya tahun ini, saya menyambutnya serba sederhana. Bila terkenangkan orang tua yang dikasihi telah lama pergi, sebak juga terasa di hati. Bila terdengar laungan takbir Hari Raya, segala yang terbuku membangkitkan emosi apatah lagi apabila isteri tersayang berjabat dan mencium tangan.

Itu bukan yang cuba nak saya ceritakan tapi mengenai betapa popularnya Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima. Bahasa yang berbunga, indah dan menyentuh hati. Kali pertama dalam hidup saya, Lebih 300 SMS saya terima dari rakan dan taulan, kalangan kepten Media, sahabat Wartawan, pemimpin- pemimpin yang dihormati.

Sejak bersama YB Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim sebagai Setiausaha Media, kenalan bertambah ramai. Kawan yang sudah lama menghilang tiba-tiba muncul kembali mengingati saya. Terima kasih. Sesuatu yang saya rasa bertuah kerana berkesempatan mencurahkan khidmat kepada Menteri paling senior dalam kabinet yang memang saya kagumi sejak dulu lagi.
Antara SMS paling bermakna yang saya terima ialah daripada YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terima Kasih YAB kerana masih mengingati saya. Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, Dato Seri Salleh Tun Said Keruak, Dato Shafie Abdullah (Setpol YAB Menteri Kewangan),Tan Sri Annuar Ali, Dato Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Aziz (Ketua Pengarang Utusan Malaysia),Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Yong, Dato Seri Tengku Adnan Mansor,Dato Khalid Abu Bakar, Dato Hamzah Taib, Dato Amrin(TV3), Dato Sri Farid Ridzuan (TV3),Dato Johan Jaafar, Dato Astaman Abd Aziz, Dato Wira Syed Ali Al-Habshee, Datuk Seri Ibrahim Saad, Dato Manja Ismail, Datuk Mat Sirat Abu, Dato Hamzah Zainuddin, Dato Rozali Isohak, Datuk Ibrahim Ali (Tok Him), Datuk Jamil Mukmin,Dato Ir Dr Zaini, Dato Mohd Fadzilah Kamsah, Dato Haji Abdul Rahman Bakar dan ramai lagi.
Terima kasih, semoga hubungan rapat ini akan terus mekar dan berkekalan.

Thursday, September 17, 2009

RUMAH TERBUKA PM DAN MENTERI KABINET

Tidak seperti tahun-tahun terdahulu, Rumah terbuka Kebangsaan seperti yang dijadualkan di Johor pada 4 Oktober tidak menjadi kenyataan. Bagaimanapun ia akan diadakan di Seri Perdana Putrajaya pada Hari Raya Pertama bermula jam 10.45 hingga 3.00 petang.

Ini peluang terbaik kepada rakyat jelata dan khalayak ramai untuk beramah mesra dengan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Jemaah Menteri yang lain.

Kemeriahannya tetap dijangka hebat dengan persembahan seni dan juga pengisian yang akan membangkitkan suasana hari raya antara pemimpin dan rakyat.Juga akan diadakan demonstrasi masakan tradisional seperti dodol, lemang dan rendang dengan disaksikan oleh tetamu termasuklah pelancong asing.

Menteri Penerangan komunikasi dan Kebudayaan, Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim dalam sidang akhbarnya memberitahu semua rakyat termasuk pemimpin pembangkang tanpa mengira parti dijemput hadir. Katanya sempena hari baik,bulan baik ini marilah kita bermaaf maafan.

Mengenai rumah terbuka ini, tetamu yang hadir juga dikhabarkan akan menerima sumbangan dari YAB Perdana Menteri selain akan dihiburkan dengan penyanyi terkenal seperti Jamal Abdillah, Syed Sobri, Azie, Jaclyn Victor, Kumpulan Saujana, Nasir Wahab, Ebby Yus, Abon, Sathiya dan beberapa artis tersohor yang lain.

Ianya satu langkah lestari dari segi penjimatan kos.

Semoga ia akan mengeratkan lagi hubungan sesama kita.

SELAMAT HARI RAYA

Bila tiba hari lebaran, hati akan sayu, jiwa akan menjadi hiba. Waktu ini air mata mudah meleleh perlahan-lahan mengenangkan mereka yang sudah tiada.Kita yang hidup entah bila akan mengikut jejak.
Waktu ini terkenangkan ayah dan emak yang telah pergi dulu mengadap illahi. Begitu juga dengan abang-abang yang telah kembali kerahmatullah. Semoga lebaran tahun ini akan membawa keinsafan kepada kita semua tak kira apa kedudukan kita.
Kepada yang mengenali saya, selamat hari raya maaf zahir dan batin. Andai terdapat kekasaran bahasa dan keterlanjuran ungkapan maaf dipinta. Semoga kita akan terus menjadi umat yang sentiasa kenal akan diri kita dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita perolehi dan dikurniakan Allah.Amin.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN

Monday, September 7, 2009

MARTABATKAN PEKERJAAN AMAH

Kadar gaji kekal antara RM450 hingga RM600 sebulan. Gembar gembur mengenai kenaikan hingga RM800 tidak menjadi kenyataan. Perjanjian antara Malaysia dan Indonesia yang dipersetujui pada 2007 tidak pernah menetapkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia tetapi lebih melihat kepada keadaan pasaran semasa.

Dalam mesyuarat bersama Malaysia-Indonesia Sabtu lepas tak membincangkan siatuasi ini seperti yang diperakui oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subaramaniam. Khabarnya kerajaan Indonesia tidak pernah membangkitkannya kecuali media yang meniup isu ini agar ianya disensasikan.

Berdasarkan perkembangan tidak menentu, adalah lebih elok pekerjaan amah ini lebih ditumpukan kepada rakyat tempatan dengan membawa pembaharuan terhadap kerjaya ini. Misalnya pekerjaan ini dimartabatkan dengan adanya kemudahan-kemudahan lain seperti perubatan, potongan EPF selain namanya juga boleh diitukar kepada Pengurus Rumah Tangga umpamanya. Nama pun sedap dan tidak mustahil ia boleh menyebabkan anak-anak gadis atau wanita tempatan terpanggil untuk menyertainya.
Adakan kursus daan pembelajaran peringkat sijil atau diploma. Alasan rakyat tempatan tidak berminat tidak akan timbul kalau perubahan menarik dilakukan termasuk juga memikirkan kerja rumahtangga ini mengikut masa pejabat dan kerja lebihan masa.
Jangan terlalu bergantung kepada orang luar kerana apa saja berlaku mengikut kehendak mereka dan akhirnya kita yang bermasalah.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More