Monday, September 21, 2009

SEGAMAT MAKIN GAMAT

Tahun ini saya dan isteri berkesempatan berhari raya di Segamat di rumah nenek. Beraya sambil melihat perkembangan bandar Segamat dengan motorsikal Kriss cukup menyeronokkan. Satu ketika Segamat teruk dilanda banjir dan saya dibawa oleh Sdr Iskandar untuk melihat keadaan di beberapa kampung. Antaranya Kampung Bumbun dan kampung Sermin dan kampung sekitar Jalan Temenggung.
Secara tiba-tiba, Iskandar meluahkan pandangannya. Macam orang politik lagaknya.
Kata Iskandar, Segamat perlu diserahkan balik kepada UMNO. Saya tanya kenapa dia berhujah begitu, selamba saja Iskandar menjawab,"itu hak UMNO dulu tapi tiba-tiba diserahkan kepada MIC, lagipun majoriti Melayu di situ,"kata Iskandar penuh yakin. Segamat kini diwakili Dato' S.S Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.

Saya meminta Iskandar melalui jalan-jalan kampung. Maklumlah sesekali balik. Apabila masuk ke kawasan kampung, Iskandar merungut, "dulu balai raya ni meriah, tapi kini seperti tidak digunakan sepenuhnya. Adalah elok kalau berbuat sesuatu, aktiviti kena diperbanyakkan kerana Mat Rempit juga hebat di Segamat ni. IMalaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," Iskandar bersuara di pihak khalayak ramai. Saya senyum kerana ada benarnya kata-kata Iskandar.

Saya sempat bertandang ke Balai Bomba Segamat, saat itu saya insaf kerana di saat kita asyik makan ketupat, lemang dan rendang ada juga insan mulia yang sentiasa bersiap-sedia menghadapi serba kemungkinan. Kemalangan musim raya bukan sesuatu yang luar biasa. Tapi ada juga panggilan untuk menangkap ular. Menurut Iskandar, tangkap ular di Segamat seperti satu kebiasaan.

Sempat juga meninjau Pejabat Penerangan Segamat. Pejabat sunyi tiada pekerja kerana semuanya bercuti. Pejabat Penerangan terletak di kawasan berhampiran dengan Stesen Keretapi. Menurut Iskandar, dulunya Pejabat Pos di situ. Pejabat bersih dan catnya hebat.

Teringat kata-kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim ketika bercakap kepada Pegawai Penerangan dari Seluruh Malaysia di Hotel De Palma tidak lama dulu agar Pejabat Penerangan biar terang dan menarik. Ketua Pengarah Penerangan kena tengok apa yang dinyatakan oleh Menteri agar ianya mencapai kehendak dan matlamat.

Sesungguhnya berhari raya di Segamat di rumah bekas Menteri Besar Johor, Dato' Ajib Ahmad terasa seperti kampung saya. Orang sekitar ramah dan mengenali saya, mungkin kerana sering muncul di TV. Ada juga yang keliru maklumlah selepas lebih 10 tahun di TV3, saya muncul di Bernama TV selama setahun dan kemudiannya bersama RTM dalam rancangan isu hingga kini setiap jumaat jam 9 malam.

Kalangan rakyat di Segamat semakin dapat menghayati Gagasan IMalaysia yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri dan barisan kabinetnya.
Iskandar membawa saya singgah di rumah kenalannya, Abang Mat, seorang pengusaha Satay yang dikenali di bandara ini. Abang Mat memang kagum dengan perjuangan Dato Seri Najib kerana memperjuangkan nasib kalangan peneroka.

Abang Mat memberitahu, kehadiran Syawal akan menjadikan dia sentiasa sibuk mengurus tempahan satay hingga ada pesanan datang dari Singapura. Memang hebat satay abang Mat di Segamat.

"Dato Seri Najib seperti arwah bapanya, Tun Razak kerana mengambil berat tentang golongan peneroka. Kita dah aman dan bagus, apa lagi yang nak diubah-ubah kerajaan yang ada," kata Abang Mat yang kerjanya mengibas Satay di kawasan Felda. Dia bersyukur dengan anugerah ini. Abang Mat antara mereka yang mengikuti perkembangan saya.

Ketika singgah di rumah Tok Ngah, nyata Tok Ngah mengkagumi Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim yang dianggapnya antara Menteri yang mempunyai karaktor menarik dan ucapannya dianggap yang terbaik. Pujiannya makin meninggi apabila Iskandar mendedahkan saya adalah Setiausaha Media Dato' Seri Utama. Terima kasih Tok Ngah.

Apabila meninjau sekitar Segamat, lamunan saya juga turut mengimbas jasa kalangan pemimpin Johor yang terdahulu. Menteri Besar yang terpahat dalam ingatan saya, Dato'Ajib Ahmad. Sekurang-kurangnya, banyak juga jasa Dato' Ajib di Johor, khususnya Segamat walaupun hanya sepenggal menjadi Menteri Besar.Begitu juga jasa yang ditaburkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini sebagai Timbalan Perdana Menteri kita.

Kepada semua orang Johor saya kagum kerana sokongan mereka kepada kerajaan yang ada tidak pernah goyah. Terima Kasih kepada Sdr Iskandar kerana melayan kemahuan saya. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More