Friday, November 20, 2009

JAGALAH MATA SEBAIK-BAIKNYA

Sekian lama saya tidak menulis kerana faktor kesihatan. Mata saya yang sekian lama kabur akhirnya terpaksa dibedah kerana pterygium advanced. Menurut Doktor Hamidah , saya agak lambat melakukan pembedahan ini sehingga ianya mengganggu mata hitam saya.

Saya hanya diam apabila mendengar penjelasan Dr Hamidah. Saya akur akan kealpaan saya. Semuanya kerana takut untuk dibedah. Puas isteri saya memujuk dan akhirnya saya mengalah dan mengikut kehendaknya untuk masuk ke bilik bedah.

Tarikh 18 November 2009 jam 8.30 pagi tidak akan saya lupa sehingga bila-bila. Pengalaman ini terlalu mahal. Mata adalah pancaindera yang harus kita jaga dengan rapi. Baru saya tahu betapa kesakitan yang terpaksa ditanggung kerana kecuaian kita dalam menjaga kesihatan mata.
Dr Hamidah terkejut dengan keadaan saya dan ini pengalaman kedua beliau sepanjang bergelar Doktor apabila berhadapan dengan kes pterygium ini yang dianggap agak lewat.

Kini semua ketakutan masuk ke bilik bedah sudah berlalu dan semuanya sudah selamat. Begitupun mata saya masih luka dan merahnya masih jelas. Cuma saya mahu ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanya khabar dan terima kasih kepada isteri saya dan Doktor Haamidah. Terima kasih banyak-banyak.

Saturday, October 3, 2009

BARANG KITAR SEMULA DI BAGAN PINANG

Kita bukan kertas, bukan plastik daan bukan juga botol. PAS menerusi kalangan penulis blog mereka menghentam Tan Sri Isa Samad sebagai calon "recycle" untuk memburukkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu selama 22 tahun.
Cukuplah buat dosa dengan memberi gelaran yang bukan-bukan. Saya amat menyokong kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim yang menganggap kalangan mereka yang memainkan isu ini sebagai "muflis" idea. Kalau nak anggap barang kitar semula, Penasihat Parti Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim terlebih kitar. Kata Isa, Anwar dah hancur semacam kertas berbanding beliau.
Tak ada isu sangat ke PAS nak mainkan di Bagan Pinang ini dan saya penuh yakin, calon PAS yang bertanding akan kekal rekod kalahnya jika kehendak pengundi di Bagan Pinang diambil kira.
Saya sempat meninjau "mood" rakyat di beberapa Taman di Bagan Pinang yang rata-rata kalangan mereka mahu melihat Isa kembali meneruskan kemajuan yang ditunjangkan Barisan Nasional sebelum ini.

Semoga kalangan penyokong PAS ikut nasihat Dato'Seri Hadi Awang dan jangan pula cakap tak serupa bikin.Rakyat tahu menilai antara batu dan permata.

ISA MASIH DIPERLUKAN

Tuesday, September 29, 2009

JANGAN "BUANG" ISA, PINDA TAK MENGAPA

"Jangan buang atau mansuhkan ISA, pinda tak apa,"Ayat yang cukup cantik, penuh makna dan paling mencuit hati hadirin termasuk YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila calon Barisan Nasional Bagan Pinang, Tan Sri Isa Abdul Samad(TSIS) mengungkapkan bait-bait ini.
TSIS dan keberuntungannya akan dapat kita lihat di Bagan Pinang berdasarkan kehendak akar umbi sesuai dengan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Inilah kali pertama TSIS bertanding di kampung halaman sendiri atas permintaan rakyat setempat yang telah menilai jasa dan bakti beliau selama lebih 30 tahun bergelumang dengan khidmat kepada masyarakat.
Pemegang Ijazah sarjana Muda Sastera (Pengajian Melayu) Universiti Malaya dan sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun bermula 1982 hingga 2004, TSIS mempunyai kelebihan cukup terserlah walaupun ada isu-isu yang melingkari perjalanan politik beliau. Itu memang sudah menjadi kebiasaan, mana ada bumi tak ditimpa hujan.
TSIS adalah pemimpin yang sabar mengharungi cabaran malah liku-liku dan sepak terajang politik menjadikan dia terus kuat dan berada di mana kedudukannya sekarang. Tiada sebab untuk rakyat menolak TSIS walaupun bermacam-macam persepsi dibangkitkan.
TSIS khabarnya sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat dan ini merupakan "markah" yang paling tinggi untuk TSIS berbanding dengan calon PAS, Zulkeply Mohamad Omar yang sebelum ini tewas dalam tiga pilihanraya yang disertainya.
Saya yakin, dengan sokongan akar umbi, rekod kalah calon PAS akan terus kekal dan TSIS akan kembali sebagai tokoh pemimpin yang memperjuangkan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. TSIS memang tidaik pernah berputus asa dan sentiasa sabar dan kekal sebagai pejuang.

ISA SAMAD PERNAH MELALUI TEMPOH KEHIDUPAN YANG SUKAR DALAM POLITIK TETAPI TIDAK PERNAH BERHENTI BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT,PARTI,KERAJAAN DAN NEGARA.

Friday, September 25, 2009

DATUK "BELI" BAGI YANG KEMARUK

Pendedahan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim mengenai ada golongan tertentu "membeli" gelaran Datuk adalah sesuatu yang harus diberi perhatian. Kita terkejut, ada kalangan yang baru berusia 30an, sudah terima gelaran Datuk. Tak tahulah bagaimana caranya mereka mendapat gelaran ini tetapi berdasarkan kenyataan
Dato'Seri Utama Dr Rais ia amat memalukan dan golongan kemaruk gelaran seperti ini bersandarkan kepada kemampuan wang ringgit bukannya kerana jasa kepada negara dan rakyat.
Mereka yang sudah bertongkat, telinga sudah tidak dengar, mata sudah kelabu, jasa kepada negara tiada bandingan tetapi gelaran penghormatan tidak pernah mereka rasai. Anehnya mereka ini tak pernah kemaruk akan gelaran walaupun sepatutnya gelaran ini sudah mereka miliki. Kita nak salahkan siapa?Ini yang menjadi persoalan.

Bagi yang berjasa di usia muda mungkin tak menjadi masalah sangat. Biarkanlah kerana budi dan jasa mereka kepada negara sudah terbukti. Sewajarnya semua pihak prihatin dengan permasalahan ini. Pendedahan berani Rais amat dikagumi. Jangan biarkan Rais sendirian memperjuangkan agar perkara jelek ini dihentikan demi harga sebuah jasa dan gelaran.
Jangan sampai nanti rakyat akan "menjueh" seraya berkata, "aku tak hairan, dapat "datuk" pun datuk beli," saat ini gelaran sudah tidak dihormati lagi.

Biarlah datuk asli selepas bercucu.

RUMAH TERBUKA RAIS

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dan Datin Seri Masnah Rais mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuala Klawang dalam Parlimen Jelebu pada 26 September 2009 bermula jam 7.30 malam.
Khabarnya ia akan turut diserikan dengan pelbagai persembahan sebagai halwa telinga mereka yang hadir.
Tentulah ramai rakyat akan bertandang ke rumah terbuka ini dan ianya sebagai langkah mendekatkan rakyat dengan pemimpin. Kebiasaannya menjangkau 10 ribu yang hadir. Mungkin kalai ini ianya akan lebih meriah dan harapan kita untuk melihat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan mencapai matlamat hingga ke akar umbi. Ia sebagai rasa terima kasih kita kepada rakyat yang selama ini setia menyokong pemimpin.
Pemimpin dan rakyat berpisah tiada.
Selamat menjamu selera.

Monday, September 21, 2009

SEGAMAT MAKIN GAMAT

Tahun ini saya dan isteri berkesempatan berhari raya di Segamat di rumah nenek. Beraya sambil melihat perkembangan bandar Segamat dengan motorsikal Kriss cukup menyeronokkan. Satu ketika Segamat teruk dilanda banjir dan saya dibawa oleh Sdr Iskandar untuk melihat keadaan di beberapa kampung. Antaranya Kampung Bumbun dan kampung Sermin dan kampung sekitar Jalan Temenggung.
Secara tiba-tiba, Iskandar meluahkan pandangannya. Macam orang politik lagaknya.
Kata Iskandar, Segamat perlu diserahkan balik kepada UMNO. Saya tanya kenapa dia berhujah begitu, selamba saja Iskandar menjawab,"itu hak UMNO dulu tapi tiba-tiba diserahkan kepada MIC, lagipun majoriti Melayu di situ,"kata Iskandar penuh yakin. Segamat kini diwakili Dato' S.S Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.

Saya meminta Iskandar melalui jalan-jalan kampung. Maklumlah sesekali balik. Apabila masuk ke kawasan kampung, Iskandar merungut, "dulu balai raya ni meriah, tapi kini seperti tidak digunakan sepenuhnya. Adalah elok kalau berbuat sesuatu, aktiviti kena diperbanyakkan kerana Mat Rempit juga hebat di Segamat ni. IMalaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," Iskandar bersuara di pihak khalayak ramai. Saya senyum kerana ada benarnya kata-kata Iskandar.

Saya sempat bertandang ke Balai Bomba Segamat, saat itu saya insaf kerana di saat kita asyik makan ketupat, lemang dan rendang ada juga insan mulia yang sentiasa bersiap-sedia menghadapi serba kemungkinan. Kemalangan musim raya bukan sesuatu yang luar biasa. Tapi ada juga panggilan untuk menangkap ular. Menurut Iskandar, tangkap ular di Segamat seperti satu kebiasaan.

Sempat juga meninjau Pejabat Penerangan Segamat. Pejabat sunyi tiada pekerja kerana semuanya bercuti. Pejabat Penerangan terletak di kawasan berhampiran dengan Stesen Keretapi. Menurut Iskandar, dulunya Pejabat Pos di situ. Pejabat bersih dan catnya hebat.

Teringat kata-kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim ketika bercakap kepada Pegawai Penerangan dari Seluruh Malaysia di Hotel De Palma tidak lama dulu agar Pejabat Penerangan biar terang dan menarik. Ketua Pengarah Penerangan kena tengok apa yang dinyatakan oleh Menteri agar ianya mencapai kehendak dan matlamat.

Sesungguhnya berhari raya di Segamat di rumah bekas Menteri Besar Johor, Dato' Ajib Ahmad terasa seperti kampung saya. Orang sekitar ramah dan mengenali saya, mungkin kerana sering muncul di TV. Ada juga yang keliru maklumlah selepas lebih 10 tahun di TV3, saya muncul di Bernama TV selama setahun dan kemudiannya bersama RTM dalam rancangan isu hingga kini setiap jumaat jam 9 malam.

Kalangan rakyat di Segamat semakin dapat menghayati Gagasan IMalaysia yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri dan barisan kabinetnya.
Iskandar membawa saya singgah di rumah kenalannya, Abang Mat, seorang pengusaha Satay yang dikenali di bandara ini. Abang Mat memang kagum dengan perjuangan Dato Seri Najib kerana memperjuangkan nasib kalangan peneroka.

Abang Mat memberitahu, kehadiran Syawal akan menjadikan dia sentiasa sibuk mengurus tempahan satay hingga ada pesanan datang dari Singapura. Memang hebat satay abang Mat di Segamat.

"Dato Seri Najib seperti arwah bapanya, Tun Razak kerana mengambil berat tentang golongan peneroka. Kita dah aman dan bagus, apa lagi yang nak diubah-ubah kerajaan yang ada," kata Abang Mat yang kerjanya mengibas Satay di kawasan Felda. Dia bersyukur dengan anugerah ini. Abang Mat antara mereka yang mengikuti perkembangan saya.

Ketika singgah di rumah Tok Ngah, nyata Tok Ngah mengkagumi Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim yang dianggapnya antara Menteri yang mempunyai karaktor menarik dan ucapannya dianggap yang terbaik. Pujiannya makin meninggi apabila Iskandar mendedahkan saya adalah Setiausaha Media Dato' Seri Utama. Terima kasih Tok Ngah.

Apabila meninjau sekitar Segamat, lamunan saya juga turut mengimbas jasa kalangan pemimpin Johor yang terdahulu. Menteri Besar yang terpahat dalam ingatan saya, Dato'Ajib Ahmad. Sekurang-kurangnya, banyak juga jasa Dato' Ajib di Johor, khususnya Segamat walaupun hanya sepenggal menjadi Menteri Besar.Begitu juga jasa yang ditaburkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini sebagai Timbalan Perdana Menteri kita.

Kepada semua orang Johor saya kagum kerana sokongan mereka kepada kerajaan yang ada tidak pernah goyah. Terima Kasih kepada Sdr Iskandar kerana melayan kemahuan saya. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Sunday, September 20, 2009

SAMY VELLU PERLU BERUNDUR

  • Kenyataan mantan Perdana Menteri dan tokoh negarawan kita, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan Dato Seri S Samy Vellu yang sudah lama memegang jawatan Presiden MIC dan patut berundur kerana dia menjadi "masalah" kepada Barisan Nasional sekaligus gagal menjadi "jaguh" kepada kaum India.

Dalam masa yang sama, Naib Presiden MIC, Datuk S.K Devamany yang dilaporkan Utusan Malaysia sebelumnya, menafikan dia ada membuat kenyataan mengenai Samy Vellu yang perlu berundur dari presiden parti. SK Devamany menyatakan dia tetap menyokong Samy.

Dato Seri Samy dianggap sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional oleh Tun Mahathir. Selepas itu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib dalam kenyataannya kepada wartawan menyatakan Samy Vellu sudah membayangkan hasrat peralihan kuasa sekalipun pertemuan lanjut akan berlangsung antara Dato Seri Najib dan Dato Seri Samy Vellu dalam masa terdekat.
Kalau nak dikira keinginan untuk pegang jawatan memang sukar untuk dilepaskan. Tapi kita juga kena sedar diri betapa pemimpin itu boleh datang dan pergi, silih berganti tetapi perjuangan parti harus berterusan. Takkanlah nak pegang jawatan sampai mati. Berilah kesempatan kepada pemimpin muda yang lain pula untuk mencorak perubahan. Mungkin selepas Samy berundur, MIC akan kembali diterima di peringkat akar umbi.

SMS PENGGANTI DIRI

Hari raya tahun ini, saya menyambutnya serba sederhana. Bila terkenangkan orang tua yang dikasihi telah lama pergi, sebak juga terasa di hati. Bila terdengar laungan takbir Hari Raya, segala yang terbuku membangkitkan emosi apatah lagi apabila isteri tersayang berjabat dan mencium tangan.

Itu bukan yang cuba nak saya ceritakan tapi mengenai betapa popularnya Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima. Bahasa yang berbunga, indah dan menyentuh hati. Kali pertama dalam hidup saya, Lebih 300 SMS saya terima dari rakan dan taulan, kalangan kepten Media, sahabat Wartawan, pemimpin- pemimpin yang dihormati.

Sejak bersama YB Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim sebagai Setiausaha Media, kenalan bertambah ramai. Kawan yang sudah lama menghilang tiba-tiba muncul kembali mengingati saya. Terima kasih. Sesuatu yang saya rasa bertuah kerana berkesempatan mencurahkan khidmat kepada Menteri paling senior dalam kabinet yang memang saya kagumi sejak dulu lagi.
Antara SMS paling bermakna yang saya terima ialah daripada YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terima Kasih YAB kerana masih mengingati saya. Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, Dato Seri Salleh Tun Said Keruak, Dato Shafie Abdullah (Setpol YAB Menteri Kewangan),Tan Sri Annuar Ali, Dato Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Aziz (Ketua Pengarang Utusan Malaysia),Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Yong, Dato Seri Tengku Adnan Mansor,Dato Khalid Abu Bakar, Dato Hamzah Taib, Dato Amrin(TV3), Dato Sri Farid Ridzuan (TV3),Dato Johan Jaafar, Dato Astaman Abd Aziz, Dato Wira Syed Ali Al-Habshee, Datuk Seri Ibrahim Saad, Dato Manja Ismail, Datuk Mat Sirat Abu, Dato Hamzah Zainuddin, Dato Rozali Isohak, Datuk Ibrahim Ali (Tok Him), Datuk Jamil Mukmin,Dato Ir Dr Zaini, Dato Mohd Fadzilah Kamsah, Dato Haji Abdul Rahman Bakar dan ramai lagi.
Terima kasih, semoga hubungan rapat ini akan terus mekar dan berkekalan.

Thursday, September 17, 2009

RUMAH TERBUKA PM DAN MENTERI KABINET

Tidak seperti tahun-tahun terdahulu, Rumah terbuka Kebangsaan seperti yang dijadualkan di Johor pada 4 Oktober tidak menjadi kenyataan. Bagaimanapun ia akan diadakan di Seri Perdana Putrajaya pada Hari Raya Pertama bermula jam 10.45 hingga 3.00 petang.

Ini peluang terbaik kepada rakyat jelata dan khalayak ramai untuk beramah mesra dengan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Jemaah Menteri yang lain.

Kemeriahannya tetap dijangka hebat dengan persembahan seni dan juga pengisian yang akan membangkitkan suasana hari raya antara pemimpin dan rakyat.Juga akan diadakan demonstrasi masakan tradisional seperti dodol, lemang dan rendang dengan disaksikan oleh tetamu termasuklah pelancong asing.

Menteri Penerangan komunikasi dan Kebudayaan, Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim dalam sidang akhbarnya memberitahu semua rakyat termasuk pemimpin pembangkang tanpa mengira parti dijemput hadir. Katanya sempena hari baik,bulan baik ini marilah kita bermaaf maafan.

Mengenai rumah terbuka ini, tetamu yang hadir juga dikhabarkan akan menerima sumbangan dari YAB Perdana Menteri selain akan dihiburkan dengan penyanyi terkenal seperti Jamal Abdillah, Syed Sobri, Azie, Jaclyn Victor, Kumpulan Saujana, Nasir Wahab, Ebby Yus, Abon, Sathiya dan beberapa artis tersohor yang lain.

Ianya satu langkah lestari dari segi penjimatan kos.

Semoga ia akan mengeratkan lagi hubungan sesama kita.

SELAMAT HARI RAYA

Bila tiba hari lebaran, hati akan sayu, jiwa akan menjadi hiba. Waktu ini air mata mudah meleleh perlahan-lahan mengenangkan mereka yang sudah tiada.Kita yang hidup entah bila akan mengikut jejak.
Waktu ini terkenangkan ayah dan emak yang telah pergi dulu mengadap illahi. Begitu juga dengan abang-abang yang telah kembali kerahmatullah. Semoga lebaran tahun ini akan membawa keinsafan kepada kita semua tak kira apa kedudukan kita.
Kepada yang mengenali saya, selamat hari raya maaf zahir dan batin. Andai terdapat kekasaran bahasa dan keterlanjuran ungkapan maaf dipinta. Semoga kita akan terus menjadi umat yang sentiasa kenal akan diri kita dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita perolehi dan dikurniakan Allah.Amin.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN

Monday, September 7, 2009

MARTABATKAN PEKERJAAN AMAH

Kadar gaji kekal antara RM450 hingga RM600 sebulan. Gembar gembur mengenai kenaikan hingga RM800 tidak menjadi kenyataan. Perjanjian antara Malaysia dan Indonesia yang dipersetujui pada 2007 tidak pernah menetapkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia tetapi lebih melihat kepada keadaan pasaran semasa.

Dalam mesyuarat bersama Malaysia-Indonesia Sabtu lepas tak membincangkan siatuasi ini seperti yang diperakui oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subaramaniam. Khabarnya kerajaan Indonesia tidak pernah membangkitkannya kecuali media yang meniup isu ini agar ianya disensasikan.

Berdasarkan perkembangan tidak menentu, adalah lebih elok pekerjaan amah ini lebih ditumpukan kepada rakyat tempatan dengan membawa pembaharuan terhadap kerjaya ini. Misalnya pekerjaan ini dimartabatkan dengan adanya kemudahan-kemudahan lain seperti perubatan, potongan EPF selain namanya juga boleh diitukar kepada Pengurus Rumah Tangga umpamanya. Nama pun sedap dan tidak mustahil ia boleh menyebabkan anak-anak gadis atau wanita tempatan terpanggil untuk menyertainya.
Adakan kursus daan pembelajaran peringkat sijil atau diploma. Alasan rakyat tempatan tidak berminat tidak akan timbul kalau perubahan menarik dilakukan termasuk juga memikirkan kerja rumahtangga ini mengikut masa pejabat dan kerja lebihan masa.
Jangan terlalu bergantung kepada orang luar kerana apa saja berlaku mengikut kehendak mereka dan akhirnya kita yang bermasalah.

Wednesday, August 26, 2009

CHUA SOI LEK IKUT JEJAK CHUA JUI MENG?

Semua pihak tahu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memang tidak sebulu. Entah macam mana dalam pemilihan yang lalu perwakilan MCA memilih Chua Soi Lek walaupun umum sudah tahu kisahnya sebelum itu. Hendak disalahkan siapa kerana itu hak mutlak perwakilan. Walaubagaimanapun, hari ini hak itu dinafikan apabila Majlis Presiden menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin MCA untuk memecat keahlian Soi Lek.

Alasan Tee Kiat ia adalah keputusan yang terpaksa dibuat kerana cekera padat digital skandal seks Soi Lek yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti. Ia berdasarkan Artikel 127 (A) Soi Lek boleh merayu dalam masa 14 hari. Bagaimanapun di bawah Artikel 128, sebarang keputusan oleh jawatankuasa pusat atas kesalahan disiplin adalah muktamad.

Timbul tandatanya, kemana arah politik Soi Lek. Bersara terus atau mencari dahan baru untuk berpaut sebagai membuktikan dia masih diterima ramai. Walaupun belum ada sosek-sosek ke arah mana politik Soi Lek. Jika Soi Lek mahu beradu kekuatan di gelanggang politik dengan Tee Kiat, dia mungkin bersama Chua Jui Meng. Soi Lek tiada pilihan.

Apa yang pasti, kemelut MCA akan mengganggu emosi rakyat dan mereka semakin terpalit dengan kerenah pemimpin dan juga pembangkang yang semakin agresif. Kepada Soi Lek pandai-pandailah bawa diri kerana silap langkah politik beliau akan terus berkubur.

Datuk Seri Anwar semakin menyeringai melihat situasi ini.

Thursday, August 20, 2009

RAIS TURUN PADANG

Peniaga dan pekedai Jalan Tunku Abdul Rahman semalam menyambut kehadiran Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim dengan meriah disulami dengan rasa terkejut dan tergamam.

Bukan sekadar bertanya khabar malah Dato'Seri Utama menyerahkan jalur gemilang sebagai simbolik sekitar bandaraya harus dimeriahkan sempena kemerdekaan negara kali ke 52. Peniaga ada yang menjerit riang, seorang menteri paling kanan mengunjungi gerai dan premis mereka.
"Dato' Rais datang, saya dapat salam dan dapat bendera," saya terdengar rungutan betapa gembiranya khalayak ramai menyambut kehadiran pemimpin. Turun padang (TURPA) harus dijadikan amalan berterusan.

Sejarah tercipta, kali pertama majlis yang dihadiri ratusan pengiring termasuk golongan artis menjayakan hasrat murni Dato'Seri Utama Dr Rais dan kementeriannya. Tahniah.
Mendekatkan diri antara pemimpin dan rakyat patut diteruskan. Langkah Dato'Seri Utama Dr Rais adalah langkah terpuji.
Selain itu beberapa tempat lain di Kuala Lumpur juga turut dikunjungi oleh pemimpin Kementerian,Timbalan Menteri dan juga Ketua Setiausaha.

Kalau kita renung, Dato Seri Utama sebenarnya mahu mengajak agar warga kota, agensi kerajaan dan pihak-pihak lain yang bersyukur dengan Malaysia melakukan sambutan ini. Jangan diam sahaja. Jangan biarkan bandaraya kita basi. Kita mencari rezeki hasil keamanan dan kebijaksanaan kerajaan.
Apa salahnya berterima kasih dengan cara ini. Semoga Satu Malaysia menyelami di sebalik turunnya Dato'Seri Utama ke gelanggang awam semalam. Tepuk dada tanya selera.

MERDEKA,MERDEKA,MERDEKA

Monday, August 17, 2009

MENJALUR GEMILANGKAN KUALA LUMPUR

Hari Kemerdekaan ke-52 kunjung tiba. Agak sepi dan keceriaannya perlu diperhebatkan. Sekali lagi idea dan usaha Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim (DASURY) akan teruji. Saya angkat topi kepada Dasury atas usaha gigih memerhati keadaan sekeliling terutama di ibu negara. Mungkin juga berbekalkan pengalaman berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri memberikan kelebihan kepada beliau untuk melihat kelemahan ini.

Usaha menjalur gemilangkan Kuala Lumpur khabarnya akan dilakukan Khamis ini disekitar Kuala Lumpur. Tempat-tempat utama juga akan dikenal pasti. Buatlah apa saja Dasury agar Kuala Lumpur yang malap menanti kehadiran hari bersejarah akan lebih ceria. Siapa nak disalahkan? Takkanlah nak letakkan semua tanggungjawab di bahu Kementerian Penerangan komunikasi dan Kebudayaan? Tepuk dada tanyalah selera. Mana perginya semangat Dewan bandaraya Kuala Lumpur?sama-samalah bergandingan demi Malaysia tercinta dan demi Satu Malaysia.

Sunday, July 26, 2009

Perjudian Internet Semakin Parah


Hari ini tajuk muka depan Utusan Malaysia, Perangi Kongsi Gelap. Pihak berkuasa digesa lancarkan operasi besar-besaran.Ini bukan perkara baru, gesaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),Datuk Haji Ibrahim Ali sepatutnya telah lama diberi perhatian.

Sikap panas-panas tahi ayam ini menyebabkan golongan ini bermaharajalela. Dulu kedai gunting rambut, kini sudah jadi kedai internet yang menawarkan perjudian di internet. Apa sudah jadi dengan pihak berkuasa tempatan. Seperti sudah tidak ada kuku.

Saya mengambil contoh di Parlimen Setiawangsa dan Wangsa Maju saja, dah banyak kedai tempat berjudi, tak payah ke Genting Highland. Apa sudah jadi?Siapa dalang yang berada di belakang kegiatan haram ini. Ramai yang jadi mangsa. Dulu ada yang berkereta, jual kereta beli motosikal tapi hari ini jual motosikal dan terpaksa jalan kaki. Malang sungguh nasib bangsa ku.

Ada yang gadai telefon bimbit kerana duit dah "diberi" kepada tuan punya tempat perjudian. Itu belum ditinjau masalah cerai berai yang menimpa "tahi" judi ini kerana wang gaji tak satu sen pun sampai ke tangan isteri. Mana isteri tak mengamuk.
Ada yang terpaksa pinjam ah long. semuanya memaparkan sikap yang amat menakutkan dan akibat daripada ini macam-macam masalah sosial lain yang menimpa termasuklah ragut, rompak dan lain-lain masalah sosial.

Mereka yang memandu teksi (bukan semua) terpaksa menipu isteri. Duit kutipan seharian habis dan terpaksa kelentong isteri, kena rompak atau teksi rosak. Saya angkat topi pada Datuk Haji Ibrahim Ali kerana berani bersuara demi kepentingan rakyat.

Thursday, July 23, 2009

rancangan isu tv 1

Lebih setahun saya bergandingan dengan Sherkawi Jirim di Bernama TV. Kenangan itu indah kerana saya hampir melupakan dunia pengacaraan kerana tidak ada ruang. Apabila Sherkawi yang saya panggil sebagai abang mempelawa saya penuh hormat menjelang pilihanraya umum ke-12 yang lalu, saya tidak keberatan.Mungkin dah sebati dengan dunia bercakap ini.

"Lan buat apa sekarang?"tanya Sherkawi.

"Berniaga kecik-kecik.Nak jadi pengacara dah tak laku, dah tua,"balas saya hormat.

"Siapa kata tua, abang pun tua tapi kita masih ada kelebihan. Jom join abang kalau nak masuk tv,"pelawa Sherkawi.

"Tv apa bang? saya tak kisah, kalau ada peluang saya tak akan tolak," kata saya. Saya pernah bergandingan dengan Sherkawi ketika bersama TV3 untuk liputan bolasepak Piala Dunia sebelum ini. Dia dan saya pernah ganti-mengganti tugas pengacara untuk ragbi Piala Dunia.Meriah ketika itu di Sri Pentas. Saya tak tahu kenapa dia pilih untuk panggil saya.Hanya Sherkawi yang tahu.

Selepas itu saya terasa bakat saya masih dihargai.
Satu ketika, saya merasakan dunia pengacaraan saya seperti sudah lenyap selepas keluar daripada TV3 selepas lebih 15 tahun menabur bakti di stesen tv swasta popular itu. Nasib masih menyebelahi.

Isteri saya, Fara juga sentiasa menjadi pembakar semangat.

"Abang masih hebat, jangan putus asa, teruskan," isteri saya berbisik manja ketika saya merindui tugasan dan menagih kemunculan semula di kaca tv. Doa isteri makbul sudah.Terima kasih darling.

Bernama tv yang dikemudi Dato Suhaimi menyambar saya menerusi Sherkawi untuk program Helo Malaysia. Helo Malaysia terus gah dan sekalipun kasih masih menebal tetapi jodoh tugas penentu segala. Saya kini tidak lagi bersama Helo Malaysia.

Bila terserempak dengan peminat Helo Malaysia, mereka akan bertanya saya ke mana menghilang. Uncle Yeoh yang meminati saya dan program itu gelisah bila berdepan saya untuk bertanyakan soalan ini. Bila saya jelaskan saya di tv 1, dia lega dan tersenyum.Terima kasih uncle Yeoh.

Allah terus memberi kekuatan dan berkat kesabaran, saya masih berada dalam kancah pengacaraan walaupun tidak sehebat Aznil Haji Nawawi sekalipun Aziz Desa, sahabat karib saya. Terima kasih Haji Aznil kerana sering SMS saya. Begitu juga Aziz Desa atau nama betulnya Abdul Azid Desa, heeebat.

Dulu saya pernah tampil ke RTM untuk menawarkan diri sebagai artis berjadual, waktu itu saya tidak ada ruang. Harapan saya terkulai. Apa boleh buat tak ada rezki dan kini saya akur, dunia itu berputar dan saya dapat berkongsi pengalaman di RTM.Jangan lupa setiap Jumaat, saya akan muncul. Jumaat, penghulu segala hari.

Saya kini menjadi pengacara untuk program isu di tv1. Sudah empat kali bersiaran, saya dan ISU semakin intim malah saya semakin seronok di RTM. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan.

Setiap Jumaat, saya akan muncul di tv1 kalau diizinkan Allah. Setakat ini sudah empat isu saya kendalikan dan semuanya berjalan lancar.

Saya merasa bertuah kerana dapat bersama Yang Berhormat Dato'Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana memberi ruang kepada saya untuk menjawat jawatan Setiausaha Media. Segala jasa Dato' Seri Utama yang amat saya kagumi tak mungkin boleh luput malah ia akan segar hingga ke akhir zaman.

Benarlah kata orang, bila kita di atas jangan lupa yang di bawah dan bila kita di bawah jangan putus asa kerana kuasa allah tidak kita sangka, kita akan kembali melangit. Cuma, jangan sombong dan bongkak kerana bumi tidak sentiasa ditimpa hujan.

jumpa lagi, semuanya untuk renungan setiap insan.

Tuesday, July 21, 2009

CATATAN PEMBUKA BICARA...

Sekian lama diulit resah akhirnya blog saya muncul juga. Tanpa bantuan sahabat saya, Sdr Ahmad Saabun, ia mungkin tidak menjadi kenyataan.

Terima kasih Mat.Lantaran ingin bersama membuahkan ide dan cetusan angan-angan dan cita-cita, demi negara bangsa, lontarkan apa saja untuk kita sembang .Biarlah kita melihat kehadapan tanpa menjengah kebelakang.

Dalam dunia ini betapa mudah kita terserempak dengan 100 tukang caci tetapi untuk mencari seorang saja tukang puji, terlalu sukar.Saya tidak mempunyai apa-apa tujuan melainkan mahu sama-sama menyumbangkan pandangan betapa kita harus berpijak di bumi nyata, harus bersyukur kerana Malaysia aman, tenteram dan makmur.

Nyahkan mereka yang bersifat tidak jujur, takut untuk berkata yang benar.Ada kalanya ada orang yang merasakan dirinya cukup baik tetapi hakikatnya, dialah manusia yang banyak menimbulkan keributan di kalangan masyarakat. Fikirlah kemana kita akhirnya.

Mai kita sembang-sembang, jangan malu dan segan, kita adalah sahabat.Salam perkenalan dan nantikan buah tangan saya.Oppps jangan lupa cari novel terbaru saya,"Bila Tulip Berbunga"

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More