Thursday, November 4, 2010

LANGIT TAK SELALU CERAH


Bila kita hampir dengan orang ternama, terbilang, berpangkat, berdarjat, berkuasa dan hebat, kita juga dilihat sebegitu. Tutur bicara kita dianggap sama hebat walaupun kadangkala kita syok sendiri.
Kawan yang lama menghilang akan datang menerpa bila mendengar khabar kedudukan kita. Bila terdengar kita tersungkur di kaki bukit, dia akan bergerak perlahan-lahan meninggalkan kita malah nombor telefon juga sudah dibuang terus dari kotak simpanan.
Buktinya jika dia menyambut panggilan kita, dia sudah tidak mengenali bahawa kita menelefonnya kerana nombor sudah "di delete".
Hebat manusia yang berkawan kerana kebendaan, pangkat dan kedudukan. Ada juga teman yang terus setia kerana mereka lebih selesa bersahabat kerana persahabatan bukan kerana kebendaan.
Kalau dulu kita baik dengan orang yang berpangkat Ketua Pengarah, kini ketua pengarah yang dulunya sanggup melutut di depan kita hanya kerana mahu menjaga supaya tidak dimarahi menteri, kini dia mula tunjuk belang.Panggilan dan pesanan juga sudah tidak dilayan tapi yakinlah, lambat atau cepat dia akan terhukum juga.
Dia berbaik dengan kita kerana kita menjadi orang kanan menteri, bila menteri sudah jauh dari kita, dia berasa selamat untuk tidak berkawan dengan kita.Cuma dia lupa, mana bisa dosa lama disembunyikan begitu saja kerana lambat atau cepat hukum karma akan diterimanya.
Saya akan ceritakan episod perangai-perangai mereka ini dalam blog saya setiap masa, malah mungkin ianya akan menjadi teladan terbaik kepada kita semua.
Ada juga Ketua Pengarah yang masih berkawan dengan baik hingga pencen kerana dia ikhlas dengan kita.Dia selesa bersahabat kerana dia tahu langit tak selalu cerah.
Mana yang terasa maaf tapi anda terutamanya mereka yang makan cili sedarlah, sampai masa anda juga akan deibenci kerana kesilapan.

Sunday, August 8, 2010

NOVEL TERBARU FARA DARLISH


Sejak 1986 aku mula menulis novel itupun bukan kerana aku pandai tetapi kerana terdesak. Aku tak pernah sangka dari seronok-seronok sudah menjadi hobi yang paling aku gemari, menulis novel.
Novel pertama Hatinya Milik Siapa terbitan Penerbitan Pena syarikat kepunyaan arwah Pak Harun. Novel kedua aku Dukanya Bersalut Noda (Penerbitan Pena)diikuti Memburu MImpi dan Seroja Kembang Petang terbitan Creative Enterprise.
Novel Cengkam dan buku Silat Lincah Omar Din Pejuang Silat Melayu dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba di Hotel Istana pada 1993.
Selepas itu aku berehat agak lama dan kembali menulis secara aktif. Kini sudah menambah karya aku yang tak seberapa.
Novel Seikhlas Kasih terbitan NHF Media dengan menggunakan nama pena Fara Waheeda Dahlan. Walaupun bayaran yang aku dapat tak setimpal tetapi aku pasrah.
Aku terus memberi ruang kepada NHF Media untuk terbitkan novel aku seterusnya, Ketika Tulip Berbunga.Namun seperti yang pertama bayarannya hampeh.
Aku berdayung terus dan aku dengan usaha payah isteri tersayang, Fara Waheeda Dato Abu Kassim berjaya menerbit dan menghasilkan novel Dosa Cinta, Selagi Ada Cinta dan novel terbaru Bertiup Angin Beralihlah Kasih. Kesemua Novel ini aku gunakan nama Pena aku Fara Darlish.
Diam tak diam sudah sebelas buah buku aku hasilkan dan aku akan terus menulis.
Dalam pembikinan ada empat lagi yang sedang aku usahakan.
Sesekali bila aku teringat kata-kata beberapa sahabat penulis,"lan, kita boleh menulis dan menerbitkan buku tapi untuk kaya jauh sekali, pengedar dan penerbit yang buat duit," aku tersentak tapi sukar untuk aku berhenti daripada kesukaan menulis ini.
Aku akan hasilkan buku perjalanan hidup yang akan menceritakan segala kepahitan dan kedukaan yang aku lalui sejak bergelar wartawan hinggalah ke jawatan hari ini,insyallah.

Wednesday, June 16, 2010

BOLASEPAK,SNUKER AKHIRNYA GOLF

Memang orang sukan. Pengulas sukan dan minat semua jenis sukan. Sukan yang paling dibenci adalah snuker dan golf. Takdir Allah, akhirnya sukan inilah yang aku minati akhir-akhir ini. Bermula dua hari lepas selepas aku boleh bermain snuker, GOLF pula menjadi permainan yang mula diminati. Benar kata Mat Metro, apabila dah boleh pukul, tidur malam pun teringatkan golf. Pemain golf hebat di kalangan media, Imran Mohd Noor juga pernah mengutarakan demikian. Katanya dalam loghat Kelantan,"kalu doh syok main golf, habih lupo,tido tak berapa nak generho(lelap)".Kini aku faham semua itu benar belaka.
Aku mendapat galakan daripada isteri aku.Terima kasih ayang.Dia suka tengok aku main golf.Lebih disiplin, kemas. Ada yang main snuker, hisap rokok, buang bersepah akhirnya nak seronok main, terkena penyakit.Betul juga. tak ada disiplin.
Semalam dapat tengok Khalid Ali pukul di Setapak. Memang bekas pemain bolasepak negara ni hebat. Dia dah jadi pemain pro tapi tetap merendahkan diri. Hebat.
Terima kasih kepada brother Azizul Rahman yang mendorong saya dan kerap kali mengajak saya bermain golf.
Kepada isteri tersayang, aku akan cuba jadi pemain golf terbaik dan yang paling penting manusia yang baik di atas segala kepercayaan.

Thursday, June 3, 2010

PIALA DUNIA 2010 IMBAU KENANGAN BERSAMA ALLAHYARHAM DIN BERAMBOI


Setelah meninggalkan stesen swasta(TV3) pada 2001 terasa seperti dunia pengacaraan sudah menjadi lipatan sejarah dalam kehidupan saya. Walaupun bertukar posisi menjadi pengacara berbentuk bual bicara berat dan bukan sukan tetapi jiwa ini sesekali kepingin berbicara tentang bolasepak, badminton dan sukan-sukan lain.

Kembalinya saya beraksi di Bernama TV dalam Helo Malaysia bergandingan dengan Serkawi Jirim akhirnya mengirimkan saya kembali ke bidang asal yang pernah saya lalui selama lebih 12 tahun iaitu sukan.

Saya pernah muncul dalam beberapa siri bolasepak Piala Dunia sebelum ini ketika bersama TV3. Pengalaman yang dikutip ketika membuat liputan sukan Olimpik Atlanta 1996, Sukan Asia Bangkok dan Sukan Komanwel menjadikan saya belajar menjadi seorang pengacara sukan yang lebih baik dari awalnya.

Sebut saja Piala Dunia, saya teringatkan arwah Din Beramboi yang pernah menjadi rakan pengacara untuk program popular TV3, Cakap-Cakap Bola. Din dengan perangainya sebagai seorang yang lucu menjadikan program itu menarik lebih 2 juta penonton.

Penampilan dengan pelbagai watak, bomoh yang meramalkan keputusan, pemain bola yang hebat walaupun arwah bukannya kenal sangat pemain bolasepak dunia. Arwah memang kelakar dan waktu itu memang seronok.

Kini 2010 saya akan bergandingan dengan Jasni Shafie, Abdullah Hashim, Hafizal Hamad dan Hasbulah Awang di lokasi yang berbeza, RTM. Dunia berputar dan kadangkala kita mengikut arah angin, kemana tercampaknya kita, di situlah kita berteduh.

Saya akan berpasangan dengan Jasni dalam perlawanan Argentina-Nigeria, 12 Jun ini dan ramai yang meramalkan Argentina dikatakan tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Nigeria. Jadi sekurang-kurangnya rindu untuk bercakap tentang sukan mungkin akan berakhir.
Semoga semuanya akan berjalan dengan baik dan sokongan peminat amat diharapkan.

Thursday, February 18, 2010

ANWAR MENYESAL,RAKYAT TAUBAT


DS Anwar Ibrahim (DSAI) mengaku salah letak calon dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Itu kata DSAI. Apa pula kata rakyat. Mereka mengaku salah dan menyesal kerana mengundi calon PKR dalam pilihanraya umum yang lalu.

Perkembangan demi perkembangan ini pastinya akan menyedarkan kita semua betapa parti serpihan indahnya hanya sementara. Contoh sudah ada sebelum ini. Banyak khabar indah dan gembira dikhabarkan sebelum pilihanraya tetapi selepas itu rakyat berserakan dengan masalah sendiri. Cakap tak serupa bikin.
Kita kena ingat, orang tua sudah berpesan, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.
Jangan biarkan kita ulangi kesilapan lalu. Tanya Datuk Seri Zahrain, tanya Ruslan Kassim, boleh juga kalau mahu bertanya dengan YB Zulkifli Noordin yang sedang mengharungi masa depan politiknya yang semakin kabur bersama PKR.
Tunggu, siapa selepas Datuk Seri Zahrain..retak menanti belah.Sudah terbelahpun.

Wednesday, February 17, 2010

YB ZUL TUNGGU APA LAGI...

Retak menanti belah. Utulah tajuk rancangan ISU kendalian saya pada Jumaat 12 Februari lalu. Sempat bersama bekas rakan dan sahabat lama Haji Ruslan Kassim yang saya kenali sewaktu beliau bertanding Exco Pergerakan Pemuda UMNO sewaktu pemuda era Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Saya selaku pengacara dan Datuk Nakhaei haji Ahmad, Haji Ruslan Kassim dan Profesor Hoo Ke Ping sebagai tetamu. Rancak, jenaka dan sesekali panas dengan cerita lama.

Apabila berbicara tentang masa depan Parti Keadilan Rakyat(PKR), Haji Ruslan nyata dengan hujah kerasnya mengatakan mereka yang masih belum meninggalkan parti itu adalah antara mereka yang masih gagal mencium bau busuk parti itu.

Keras bunyinya tetapi ia berdasarkan pengalaman lima tahun bersama PKR. Haji Ruslan jadi muak dan menyampah tetapi beliau hairan kenapa masih ada yang bersama PKR yang dilihat sudah "ditawan" oleh parti DAP. Rujuknya apa yang berlaku di Pulau Pinang sesuatu yang sudah dijangka.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim secara terbuka mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kritikan ini akhirnya membawa kepada tindakan Ahli parlimen itu meninggalkan PKR.

Pada awalnya saya menjangkakan, YB Zulkifli Noordin, Ahli parlimen Kulim/Bandar Baharu yang akan terlebih dulu meninggalkan PKR, rupa-rupanya Datuk Seri Zahrain yang ke hadapan lebih awal.
Dalam saat ini semua mata dan pencatur politik menghala pandangan kearah pendirian Yb Zul. Kata mereka bila lagi...semuanya sudah tidak sabar.

Badannya saja dalam PKR tetapi jiwa dan raga sudah tidak bersama.Kepada Yb Zul, buatlah yang terbaik kerana orang Kampung Sungai Batu, Sungai Taka, Sungai Tengas, Banggol Durian, Permatang Kerat telunjuk, Kampung Rantau panjang, Selama Kedah, Kampung Sungai Buluh, Kampung Dingin, Kampung kampung seluruh Kulim Bandar Baharu menanti dengan penuh sabar keputusan beliau. Tunggu apa lagi, kalau sudah tak tahan.

Monday, January 18, 2010

HARGA SECAWAN TEH

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Ungkapan yang membawa erti yang cukup besar. Bermaksud kita harus berhati-hati ketika mengutarakan pendapat dan berbicara kerana halus budi bahasa, tenang jiwa dan raga penyelamat dari segala sengsara.

Hanya kerana meninggikan suara, harga secawan teh menjadi pertaruhan satu nyawa. Inilah yang berlaku kepada Sanusi Othman di Tanah Merah, Kelantan. Menanti pesanan teh yang agak lambat, akhirnya keenakan teh tidak dapat dinikmati sebaliknya terpaksa menanggung kesakitan kerana badannya melecur teruk oleh simbahan air panas yang sedang menggelegak.

Dalam dunia yang serba moden ini masih ada kalangan orang kita yang sempit pemikiran, bertindak seperti haiwan kerana mengikut nafsu dan perasaan. Akibatnya buruk malah tindakan menjirus air panas ini bukanlah jalan yang bijak. Apa salahnya dia menegur dan jangan bertindak mengikut sikap baran. Bila nasi sudah menjadi bubur, apa yang nak dikata. Tunggulah hukuman akibat perbuatan jelek ini.Renung-renungkan.

Tuesday, January 12, 2010

CERITA PENGACARA


Seronok kalau dapat muncul di kaca tv. Labih seronok lagi kalau keluar ke bandar orang akan pandang dan tegur kita. Seronok-seronok juga tapi bebanan yang digalas jangan dipandang ringan.

Sejak akhir-akhir ini ada yang pandang mudah hakikat ini. Kalau jumpa rakan terus pelawa untuk jadi host. Itu proses yang tak kena. Dulu-dulu payah nak jadi pengacara atau pengendali sesuatu rancangan tapi hari ini mudah sangat. Saya cadangkan, kenalah selidik latar belakang dan juga siapa yang kita nak berikan kepercayaan. Jangan ikut sedap selera saja.

Saya sempat menonton rancangan soal jawab terbitan tv3. Datuk Ahmad Talib berupaya mewarnai dunia pengacaraan dengan mengacara soal jawab, nampak bagus juga kerana dia sarat dengan pengalaman. Tahniah Datuk. Saya suka bila melihat Datuk Ahmat Talib menemubual Datuk Halimah Sadique, Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Datuk Manja juga hebat. Walaupun namanya Manja tetapi soalan yang dilontarkan langsung tidak menunjukkan kemanjaan, maksudnya hebat, keras dan padu.

Provokasi juga perlu. Jika tidak, kita akan menjadi pengacara yang hanya bertanya sambil menunggu tetamu jemputan menjawab selama sejam, tentu penonton boring. Saya juga dapat perhatikan, Sayed Munawar juga ada kekuatan ini dan RTM boleh bersandarkan kepada kemampuan beliau untuk program Di Luar Lingkungan (DLL).

Kepada mereka yang ketagih menjadi pengacara diharap hati-hati kerana ia tidak semudah yang kita fikirkan. Oleh kerana tidak berwaspada mungkin saman menyaman akan berlaku. Kalau nasi sudah menjadi bubur, apa nak buat lagi, pasrah sajalah.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More