Monday, January 18, 2010

HARGA SECAWAN TEH

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Ungkapan yang membawa erti yang cukup besar. Bermaksud kita harus berhati-hati ketika mengutarakan pendapat dan berbicara kerana halus budi bahasa, tenang jiwa dan raga penyelamat dari segala sengsara.

Hanya kerana meninggikan suara, harga secawan teh menjadi pertaruhan satu nyawa. Inilah yang berlaku kepada Sanusi Othman di Tanah Merah, Kelantan. Menanti pesanan teh yang agak lambat, akhirnya keenakan teh tidak dapat dinikmati sebaliknya terpaksa menanggung kesakitan kerana badannya melecur teruk oleh simbahan air panas yang sedang menggelegak.

Dalam dunia yang serba moden ini masih ada kalangan orang kita yang sempit pemikiran, bertindak seperti haiwan kerana mengikut nafsu dan perasaan. Akibatnya buruk malah tindakan menjirus air panas ini bukanlah jalan yang bijak. Apa salahnya dia menegur dan jangan bertindak mengikut sikap baran. Bila nasi sudah menjadi bubur, apa yang nak dikata. Tunggulah hukuman akibat perbuatan jelek ini.Renung-renungkan.

Tuesday, January 12, 2010

CERITA PENGACARA


Seronok kalau dapat muncul di kaca tv. Labih seronok lagi kalau keluar ke bandar orang akan pandang dan tegur kita. Seronok-seronok juga tapi bebanan yang digalas jangan dipandang ringan.

Sejak akhir-akhir ini ada yang pandang mudah hakikat ini. Kalau jumpa rakan terus pelawa untuk jadi host. Itu proses yang tak kena. Dulu-dulu payah nak jadi pengacara atau pengendali sesuatu rancangan tapi hari ini mudah sangat. Saya cadangkan, kenalah selidik latar belakang dan juga siapa yang kita nak berikan kepercayaan. Jangan ikut sedap selera saja.

Saya sempat menonton rancangan soal jawab terbitan tv3. Datuk Ahmad Talib berupaya mewarnai dunia pengacaraan dengan mengacara soal jawab, nampak bagus juga kerana dia sarat dengan pengalaman. Tahniah Datuk. Saya suka bila melihat Datuk Ahmat Talib menemubual Datuk Halimah Sadique, Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Datuk Manja juga hebat. Walaupun namanya Manja tetapi soalan yang dilontarkan langsung tidak menunjukkan kemanjaan, maksudnya hebat, keras dan padu.

Provokasi juga perlu. Jika tidak, kita akan menjadi pengacara yang hanya bertanya sambil menunggu tetamu jemputan menjawab selama sejam, tentu penonton boring. Saya juga dapat perhatikan, Sayed Munawar juga ada kekuatan ini dan RTM boleh bersandarkan kepada kemampuan beliau untuk program Di Luar Lingkungan (DLL).

Kepada mereka yang ketagih menjadi pengacara diharap hati-hati kerana ia tidak semudah yang kita fikirkan. Oleh kerana tidak berwaspada mungkin saman menyaman akan berlaku. Kalau nasi sudah menjadi bubur, apa nak buat lagi, pasrah sajalah.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More